KUCHING: Sarawak Energy komited terhadap pembangunan tenaga hidro lestari sebagai tunjang utama penjanaan tenaga di Sarawak, sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan boleh diperbaharui.
Komitmen ini dizahirkan menerusi penyampaian Anugerah International Hydropower Association (IHA) Blue Planet Prize 2025 kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Anugerah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, disaksikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS) merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki.
Sarawak Energy menerima pengiktirafan tersebut 9 September lalu di Paris, Perancis, semasa International Forum on Pumped Storage Hydropower.
Anugerah berprestij itu diberikan kepada projek hidrokuasa yang menunjukkan prestasi kemampanan luar biasa berdasarkan Hydropower Sustainability Standard (HSS).
Terdahulu, Bakun HEP turut menerima Pensijilan Perak (HSS Silver Certification) yang diumumkan pada SAREF 4.0 di Kuching, hasil penilaian oleh Hydropower Sustainability Alliance yang menonjolkan kekuatan Bakun dalam penglibatan komuniti, pemuliharaan biodiversiti, ketahanan iklim dan tadbir urus.
Dengan kapasiti 2,520MW, Bakun HEP merupakan kemudahan hidrokuasa terbesar di Asia Tenggara yang diiktiraf di bawah HSS, dan menjadi penyumbang utama kepada portfolio tenaga boleh diperbaharui Sarawak bersama Murum HEP (944MW) dan Batang Ai HEP (94MW).
Sebagai pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia dan ahli aktif IHA sejak 2010, Sarawak Energy kekal memperkukuh amalan pembangunan hidrokuasa mampan berpaksikan prinsip bahawa “hidrokuasa yang boleh diterima hanyalah hidrokuasa yang lestari.”
Selain itu, Sarawak Energy turut menjadi Patron Global pertama Asia Tenggara bagi World Energy Council sejak Mac 2024, menyokong usaha global dalam peralihan tenaga serta inovasi dan dasar kemampanan.