KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) bersama dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membangun ekosistem sokongan komprehensif untuk warga emas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan ekosistem sokongan itu merangkumi peningkatan akses jagaan kesihatan, memperluaskan khidmat sosial dan mengukuhkan bantuan kewangan supaya jangka hayat warga emas lebih panjang dan hidup sejahtera.
Menjelang tahun 2050, satu daripada enam orang di dunia ini akan berumur 60 tahun dan ke atas dan Sarawak tidak terkecuali, katanya merasmikan Persidangan Antarabangsa Berkaitan Penuaan Sarawak (SICA) 2025 di sini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian. Persidangan itu bertemakan ‘Ageing with Dignity: Policies for Rights, Inclusion and Social Protection’.
Peningkatan jumlah warga emas di Sarawak katanya, adalah simbol kejayaan dan memerlukan penjagaan termasuk melaksanakan dasar yang mengukuhkan perlindungan sosial, jagaan kesihatan dan sokongan masyarakat.
“Jangka hayat yang panjang itu hendaklah disertai dengan kualiti kehidupan dan bersifat inklusif,” tegas beliau.
Justeru, program pembangunan harus bersifat mesra rakyat dan inklusif supaya setiap warganegara tanpa mengira peringkat umur hidup dengan penuh digniti dan mengecapi peluang sama rata, katanya.
Beliau berkata, sesungguhnya kerajaan mahu menjadikan negeri ini sebagai tempat selesa untuk didiami dan warga emas merasai dihargai dan dihormati.
