KUCHING: Tiga projek mega yang dilaksanakan oleh Cahya Mata Sarawak di negeri ini apabila siap kelak akan memberi impak ketara kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan masyarakat sekeliling.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, tiga projek terbabit ialah membina loji Klinker baharu di Mambong, Pusat Persidangan Borneo Kuching 2 dan loji phosphate.
Loji Klinker baharu di Mambong yang berharga RM673 juta dijangka siap pada pertengahan tahun 2027, katanya berucap pada majlis Cahya Mata bersama media di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Sulaiman berkata, loji klinker itu mampu menghasilkan simen daripada 900,000 tan setahun sekarang kepada 1.9 juta tan untuk memenuhi keperluan pembangunan di negeri ini.
Loji terbabit yang menggunakan teknologi terkini, katanya, akan mengurangkan import klinker dan mengurangkan perlepasan karbon dan berupaya membekal klinker secara mampan.
Dalam pada itu, Sulaiman menegaskan, Cahya Mata turut berjaya melancarkan loji phosphate yang pertama seumpamanya di rantau ini menggunakan tenaga diperbaharui.
Beliau berkata, loji itu mampu mengilang phosphate kuning, asid phosparik gred teknikal dan asid phosperik untuk makanan (FGA) dengan ketulenan 99.9 peratus.
Dalam membantu mengembangkan ekonomi negeri ini, katanya, Cahya Mata tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menanam spesies kayu dalam Program Hari Arbor di kawasan Hutan Simpan Sabal dan membaikpulih Rumah Amal Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching.
