Pusat pembangunan varieti benih di Sarawak

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Benih Nasional Borneo dicadang diwujudkan di Sarawak.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee mencadangkan pusat terbabit bagi membangunkan varieti benih padi dan jagung yang sesuai dengan geografi Sarawak dan mengurangkan kebergantungan terhadap import benih.

“Untuk menjadikan Sarawak penyumbang utama kepada daya tahan makanan negara, kita mesti mengurangkan kebergantungan terhadap import input asas pertanian seperti benih hibrid, makanan ternakan dan baja kimia.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Rakyat.

Selain itu, Rodiyah juga menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh sektor pertanian seperti Program Peningkatan Pengeluaran Lembu Pedaging, Pemerkasaan Industri Padi dan Beras.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM300 juta bagi jagung bijian, ternakan akuakultur dan tanaman padi di Sabah serta Sarawak,” tambahnya.