KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) memohon supaya beberapa sekolah daif di kawasan Batang Lupar dinaik taraf atau dibina semula baharu.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kipli berkata, antara sekolah rendah daif yang perlu dinaik taraf atau dibina semula baharu segera ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tuanku Bagus.
“Apakah status projek terbabit yang tidak dinyataan dalam Belanjawan 2026 dan bilakah tempoh masa bagi projek itu siap sepenuhnya,” katanya semasa membahas Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM66.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2026 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Shafizan juga memohon supaya SK Haji Bujang Sebangan, SK Lela Pahlawan di Lingga dan SK Tambak di Pusa dinaik taraf atau bina baharu agar pelajarnya dapat menikmati persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif.
Selain itu, beliau turut memohon pecahan mengenai sekolah yang dipilih bagi pemasangan CCTV untuk meningkatkan keselamatan di sekolah kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Mohd. Shafizan juga bertanya mengenai perkembangan terkini isu kekurangan guru di Sarawak dan sejauh manakah kekosongan masalah kekurangan guru itu berjaya diselesakan.
Berkaitan bidang kesihatan, beliau memohon Kementerian Kesihatan menimbang keperluan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Pusa kepada sebuah Poliklinik dan Klinik Kesihatan Semarang kerana kapasitinya sekarang tidak dapat menampung jumlah pesakit.
Klinik Kesihatan Semarang, katanya, telah tersedia spesifikasi dan hanya menunggu peruntukan untuk dilaksanakan.
