Surau SK Haji Junid bakal dilengkapi kemudahan ibadah selesa

KABONG: Pelaksanaan surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid, Gerigat, bakal direalisasikan dengan peruntukan sebanyak RM250,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, berkata projek berkenaan dibincangkan dalam Sesi Libat Urus RTP bersama pihak sekolah dan agensi pelaksana bagi memastikan ia dilaksana mengikut jadual.

Katanya, pembinaan surau tersebut penting dalam usaha menyediakan kemudahan ibadah yang selesa kepada warga sekolah, selain menjadi pusat aktiviti keagamaan dan komuniti.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya agar manfaatnya dapat dinikmati pelajar dan guru di SK Haji Junid Gerigat,” katanya.

Dalam sesi sama, beberapa projek pembangunan lain di kawasan Kabong turut dibincangkan, khususnya yang dilaksanakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana utama.