Kerjasama Sarawak–Pahang lonjak industri pelancongan, warisan budaya

KUCHING: Kerjasama erat antara Sarawak dan Pahang diyakini mampu melonjakkan pembangunan sektor pelancongan serta warisan budaya kedua-dua negeri, menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kedua-dua negeri mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi dan keunikan budaya yang berpotensi dipromosikan di peringkat global.

“Pahang dan Sarawak menjalin hubungan erat untuk kepentingan bersama, khususnya dalam memajukan bidang kraftangan, pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya baik di Pahang mahupun di Sarawak.

“Ini mencerminkan identiti masyarakat kita yang harus ditonjolkan untuk tatapan dan dihargai masyarakat berbilang bangsa dan agama di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Malam Mesra Sarawak–Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, malam tadi.

Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.

Abang Johari menambah, setakat Ogos 2025, Sarawak telah merekodkan hasil pelancongan sebanyak RM8.2 bilion dan optimis mencapai sasaran RM12.7 bilion tahun ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata sokongan padu Tunku Azizah menjadi pemangkin penting dalam memperkasa industri seni tenun dan kraftangan tempatan di Sarawak.

“Patik turut menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang beberapa kali mencemar duli ke Sarawak bagi menyokong pemerkasaan industri kraftangan serta seni tekstil tempatan.

“Lawatan Kebawah Duli Tuanku telah membuka ruang kerjasama antara Kraftangan Malaysia, Negeri Pahang dan Sarawak dalam bidang tenunan songket, pua kumbu serta kraf rotan dan manik,” kata Premier.

Ujar beliau, program pertukaran artis dan jurukraf diadakan yang memperkukuh kepakaran tanpa mengabaikan warisan tradisi bangsa, lebih-lebih lagi projek tenunan kraf dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia Sarawak yang merupakan cetusan idea Tuanku kepada arwah isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

“InshaAllah Tuanku, projek ini akan diteruskan oleh anakanda Patik Dayang Norjihan dan rakan-rakan,” katanya.