Tujuh rumah panjang, tujuh kampung bakal nikmati bekalan air terawat

SARATOK: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka kini menikmati bekalan air bersih dan stabil susulan penyiapan projek Acute System di Loji Rawatan Air Lichok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek bernilai sekitar RM28.8 juta itu membekalkan air terawat kepada tujuh rumah panjang dan tujuh kampung di kawasan tersebut termasuk Kampung Kaba.

“Selepas Kampung Kaba, kawasan lain seperti Lubok Nibong, Kali Kaba, Kampung Perpat dan Kampung Paloh akan turut disambung meter bagi tujuan pembekalan air terawat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan bersama pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daerah Saratok meninjau bekalan air terawat di Kampung Kaba, di sini, semalam.

Projek Acute System bermula Februari tahun ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) serta pemasangan paip jenis HDPE bersaiz 450mm sepanjang lima kilometer dari Loji Rawatan Air Lichok ke Tangki Air Bukit Lebur.

Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta JBALB Sarawak sebagai agensi pelaksana.

Ini bagi memastikan bekalan air bersih lebih konsisten dan mampan untuk jangka panjang kepada lebih 6,700 rumah di DUN Kabong, Kalaka dan Krian.