Rakyat perlu fahami dasar, inisiatif Kerajaan Sarawak

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak seiring dengan ketangkasan kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sejak beliau memegang tampuk pentadbiran 2017.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, peranan UKAS untuk memastikan rakyat memahami maksud dan manfaat di sebalik setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak.

Katanya, Premier Sarawak pernah menyatakan kebimbangan sama ada rakyat benar-benar mengetahui apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kerana tidak mahu mereka ketinggalan dalam arus kemajuan kerajaan.

“Dalam tempoh lapan tahun Premier Sarawak memimpin Bumi Kenyalang, banyak pembaharuan dan kemajuan berlaku dengan sangat pantas. Semua pihak perlu bergerak seiring dengan kepantasan beliau supaya setiap visi dan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Bukan sahaja rakyat, tetapi kami sebagai wakil rakyat dan pegawai kerajaan juga perlu memahami dan menyesuaikan diri dengan ketangkasan beliau,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa anjuran UKAS di Dewan Maj’ma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini, hari ini.

Mengenai program tersebut, beliau memberitahu pendekatan komunikasi dua hala ini membolehkan rakyat memahami dengan lebih jelas usaha kerajaan, di samping menerima maklumat yang tepat dan sahih, bagi memastikan setiap dasar yang digerakkan kerajaan memberi impak positif kepada masyarakat.

Tambahnya, UKAS bersama agensi penerangan lain juga bertanggungjawab menyalurkan maklum balas rakyat kepada pucuk pimpinan kerajaan sebagai sebahagian daripada proses komunikasi dua hala.

Terdahulu, Abdullah menjadi moderator dalam sesi dialog pada majlis itu bersama ahli-ahli panel jemputan yang membincangkan topik mengenai ‘Impak Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2026 Ke Atas Sarawak’.