Siapkan projek ikut jadual

BETONG: Sebanyak 104 projek fizikal dikenal pasti sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong) di bawah seliaan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan rakyat.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Kawasan DUN N.40 Kabong di Pejabat Residen Bahagian Betong, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut disertai pelbagai agensi pelaksana di bawah BDDA.

Menurut taklimat yang dibentangkan, daripada jumlah keseluruhan projek tersebut, 35 projek (34 peratus) telah siap dilaksanakan, manakala 64 projek (62 peratus) masih dalam perancangan dan lima projek (empat peratus) sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Dari segi prestasi kewangan, jumlah peruntukan keseluruhan bagi kawasan DUN Kabong ialah RM204,115,561.60, dengan RM51,453,168.79 (25.21 peratus) diperuntukkan bagi tahun 2025. Setakat ini, perbelanjaan semasa mencatatkan RM21,780,580.60 (10.67 peratus).

Chee Kadir menegaskan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dan manfaat sampai kepada rakyat.

“Rakyat di DUN Kabong perlu melihat hasil nyata daripada setiap projek yang dirancang. Kita mahu pembangunan yang benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk,” tegasnya.