KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjadikan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro yang baharu di Parlimen Igan sebagai keutamaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembinaan IPD Matu Daro menjadi keutamaan KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang bertanyakan status projek IPD Matu Daro di kawasan Parlimen Igan yang berada dalam keadaan daif.
Shamsul Anuar berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa lokasi dicadangkan bagi pembinaan IPD baharu terbabit. Antaranya Lot 2521, Blok 8, Jemoreng yang seluas 20 ekar dan kira-kira 10 kilometer dari IPD Matu Daro sedia ada serta Lot 2521, Blok 17 Jemoreng seluas 12 ekar yang lebih kurang 14 kilometer dari IPD Matu Daro sedia ada.
“Namun kawasan ini berhampiran sungai dan sedang diteliti dari segi kesesuaian,” katanya.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata, IPD Matu Daro sedia ada mempunyai kekuatan seramai 108 pegawai dan anggota serta beroperasi dengan baik serta beberapa kerja penyelenggaraan telah dilaksanakan bagi tempoh 2024 hingga 2025.
“Ini termasuk kerja baik pulih dan pembaikan kuarters serta premis berjumlah RM80,000, kerja pendahuluan semula bernilai RM100,000, serta kerja pembaikan bumbung dan siling bernilai RM200,000,“ katanya.
