KOTA SAMARAHAN: Kampus Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bakal memberi peluang kepada belia Sarawak untuk melanjutkan pengajian tinggi di negeri sendiri, berikutan pembukaan Pejabat Urusan KPTM Sarawak hari ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata pejabat ini mula beroperasi sejak Oktober bagi menyelia persediaan kampus yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya November 2026.
Beliau menekankan bahawa kewujudan KPTM Sarawak membolehkan pelajar tempatan menimba ilmu tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung, sekali gus mengurangkan kos dan memudahkan akses pendidikan tinggi.
“Kampus sementara KPTM akan beroperasi di Uni Garden, berhampiran Giat Mara Samarahan, sebagai pusat pentadbiran dan penyelarasan program sebelum bangunan rasmi siap. Ini kerana sebelum ini, pelajar Sarawak terpaksa meninggalkan negeri untuk mengikuti kursus dan latihan kemahiran di KPTM Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program Smartbiz Desa@ Kota Samarahan di Kampus Infra Negeri Sarawak, hari ini.
Tahun ini tambah Ahli Parlimen Samarahan itu, sebanyak 1,800 permohonan diterima daripada pelajar Sarawak, dengan 250 pelajar telah diterima pada kemasukan Julai lalu.
Rubiah menambah, KPTM Sarawak menyasarkan pengambilan kira-kira 300 pelajar tempatan dalam bidang pendigitalan dan Diploma TESL pada sesi awal, sejajar dengan keperluan pendidikan empat universiti di negeri ini.
