LUNDU: Kerajaan Sarawak memperkukuhkan komitmen menyediakan bekalan air bersih dan terawat di luar bandar menerusi pelaksanaan projek sistem grid air baharu Lundu–Sematan bernilai RM144 juta yang kini giat dijalankan.
Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan sepenuhnya menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak dan dijadual siap dalam tempoh 36 bulan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi menyaksi penyerahan tapak pembinaan loji rawatan air baharu itu dengan jarak kira-kira 4.5 kilometer (km).
Projek tersebut merangkumi pemasangan paip air baharu sepanjang 77 KM menggunakan paip bersaiz antara 350 milimeter (mm) hingga 800 mm ND, serta 25KM lagi bersaiz 160 mm hingga 400 mm OD.
Selain itu, turut dilaksanakan pemasangan saluran paip komunikasi yang melibatkan 1,176 rumah di sepanjang laluan 59KM.
Selain jajaran paip pelbagai saiz, projek ini turut melibatkan pembinaan empat stesen pam penggalak dan empat tangki simpanan air masing-masing berkapasiti antara 4 juta hingga 4.5 juta liter, termasuk tambahan dua lagi tangki berkapasiti 2 juta liter di Sedaing dan 3 juta liter di Pasir Ulu.
Projek ini dilihat sebagai bukti nyata kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat di luar bandar dan pekan kecil turut menikmati kemudahan asas yang berkualiti, sejajar dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Adenan, ADUN Opar, Billy Sujang serta yang lain.
