KUCHING: Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan enam program di seluruh negara dalam usaha memberi peluang kepada wanita untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan daya saing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, antaranya Program PERANTIS yang membolehkan peserta berguru secara langsung dengan tokoh-tokoh wanita berjaya agar mereka lebih yakin memimpin dan memberi impak positif dalam komuniti serta organisasi masing-masing.
“Dari segi ekonomi dan kemahiran masa hadapan, Program Gig@BIT membekalkan wanita dengan latihan digital seperti pemasaran kreatif, keselamatan siber dan Generative AI,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan MAKSAK Wanita Sarawak Amazing Race 2025 bertema “Raider of the Coast” di Damai Lagoon Resort, Santubong, di sini, hari ini.
Nancy berkata, Program KIRANA pula memberi latihan keusahawanan kepada wanita untuk menjana pendapatan dan membina perniagaan sendiri dari rumah serta Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) yang perkukuh kefahaman masyarakat tentang hak dan perlindungan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
Katanya, Program KasihNita menyokong ibu tunggal melalui modul pengurusan kewangan, literasi undang-undang dan pembangunan diri agar dapat berdikari serta program menangani keganasan terhadap wanita.
Ini katanya, bagi memperkukuhkan kesedaran kepentingan hentikan semua bentuk keganasan terhadap wanita melalui kempen advokasi di seluruh negara.
