75 unit rumah mampu milik bakal dibangun Kampung Hulu Kabong

KABONG: Sebanyak 75 unit rumah mampu milik akan dibangun di bawah Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Hulu Kabong Fasa Satu.

Ia sebagai sebahagian usaha Kerajaan Sarawak menyediakan kediaman selesa dan teratur untuk penduduk luar bandar.

Projek ini dilaksanakan agensi pelaksana, Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn. Bhd. (BDC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan menandakan satu lagi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penduduk di kawasan luar bandar, khususnya di Kabong, turut menikmati pembangunan seimbang seperti di bandar.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat, bukan sahaja dari segi pemilikan rumah mampu milik, tetapi taraf hidup meningkat,” katanya semasa lawatan tapak projek SPK Kampung Hulu Kabong Fasa 1, dekat sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 12 daripada 75 lot dikenal pasti masih mempunyai struktur sedia ada, dan penilaian sedang dilakukan untuk menentukan sama ada struktur tersebut akan dikekal atau dirobohkan sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada BDC dan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, dengan tujuan menilai keadaan sebenar di tapak projek bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Chee Kadir turut menyatakan keyakinan bahawa apabila siap kelak, projek SPK ini bukan sahaja akan menyediakan perumahan berkualiti kepada penduduk, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi di kawasan Kabong.