KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) komited melahirkan lebih ramai bakat anak Sarawak dalam bidang STEM, selaras dengan seruan Kerajaan Negeri.
UNIMAS dalam kenyataan medianya memberitahu, inisiatif ini direalisasikan melalui program “Stem Science Junior Explorer” di bawah Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) di SMK Kota Samarahan, semalam.
Program berkenaan dikendalikan Pusat Kelestarian UNIMAS dan dibiayai geran Kementerian Kewangan menerusi SAM 2025.
Program itu menarik penyertaan 80 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga yang berpeluang menyertai pelbagai eksperimen saintifik menarik di bawah bimbingan 10 pensyarah FSTS daripada program Teknologi Zoologi, Bioteknologi Sumber, Kimia, Biologi Marin dan Air Tawar, Agroteknologi serta Sains Tumbuhan.
Pelajar teruja melihat spesimen tumbuhan, serangga dan haiwan, selain melakukan eksperimen fermentasi serta ujian tahap keasidan menggunakan kubis unggu.
Aktiviti lapangan ini diketuai Dr.Ain Nadirah Romainor dan turut disertai Dr. Lau Lik Ming, Dr. Muhammad Redza Mohd Radzi, Dr. Mugunthan Perumal, Dr. Madinah Adrus, Dr. Siti Nurlydia Sazali @ Piksin, Cik Ratnawati Hazali, Dr. Nurashikin Suhaili, Dr. Mohamad Hilmi Ibrahim serta Prof Madya Dr. Dayang Salwani Awang Adeni.
Menurut Dr. Ain, strategi mereka adalah bereksperimen bersama pelajar sambil menerangkan konsep sains dalam kehidupan seharian bagi menarik minat dan keterujaan pelajar tanpa disedari.
Dekan FSTS, Prof. Ts. Dr. Faisal Ali Anwar Khan yang turut hadir, berkata program ini menyokong aspirasi UNIMAS dan visi kerajaan negeri Sarawak dalam memperbanyakkan bakat STEM bermula dari peringkat rendah dan menengah.
Program Sekolah Angkat Malaysia MADANI (SAMM) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lalu.
SMK Kota Samarahan dipilih sebagai sekolah angkat UNIMAS, dengan sasaran.
Antaranya ialah menangani isu keciciran pelajar secara holistik; memperkukuh pembangunan akademik dan sahsiah; meningkatkan kemahiran STEM dan pembelajaran digital; serta mengukuhkan kerjasama antara universiti, sekolah dan komuniti.
