Projek naik taraf, ganti saluran paip lama dilaksana tahun ini

ASAJAYA: Projek naik taraf dan mengganti saluran paip lama serta usang secara berfasa di seluruh Sarawak bermula tahun ini.

Menteri Utiliti dan Komunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata,
projek itu mengambil masa selama lima tahun untuk siap.

Katanya, ia disebabkan Sarawak mempunyai saluran paip air sepanjang 2,700 kilometer (km) di seluruh kawasan.

“Justeru, proses mengganti paip lama dan usang akan mengambil masa namun, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan projek siap berdasarkan jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tangki Aras Tingi dan Stesen Pam Penggalak Tambirat serta Tangki Aras Tinggi Asajaya di sini, hari ini.

Berhubung projek Projek Rakyat Bekalan Air Pakej 2A di sini, Julaihi yang juga ADUN Sebuyau mendedahkan projek bernilai sekitar RM185 juta itu disiapkan April tahun lalu.

Katanya, skop projek merangkumi pembinaan Tangki Aras Tinggi di Tambirat; Moyan Laut; Asajaya; Sadong Jaya; Semera dan Sungai Buloh 2 selain pembinaan Stesen Pam Penggalak di Tambirat; Asajaya dan Sg Buloh serta pemasangan saluran paip baharu sepanjang 42.2 kilometer (km).

“Jika dahulu kita dapat menyimpan 2.5 juta liter air sehari (MLD) sehari namun ketika ini dengan siapnya pembinaan Tangki Aras Tinggi, kita dapat menyimpan air 20 MLD.
 
‘’Bermakna, peningkatan ini membolehkan bekalan air bersih dapat diagihkan di seluruh kawasan yang terlibat dengan lebih baik,’’ katanya.