Yang di-Pertua Negeri Sarawak Kelapan miliki pengalaman

KUCHING: Pengalaman dimiliki Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membolehkannya menyumbang kepada Sarawak sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Kelapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini terutamanya pengalamannya berkhidmat di peringkat persekutuan.

“Bermakna ada kedua-duanya pengalaman persekutuan dengan negeri, jadi kita ucap tahniah,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata demikian mengulas pelantikan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Kelapan bagi tempoh bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Kecil, Istana Negara, di Kuala Lumpur, semalam.