KUCHING: Sebanyak enam projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) diluluskan Jawatankuasa Pemandu RADDA bagi kawasan DUN Balingian membabitkan kos berjumlah RM102.5 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kesemua projek itu kini berada di peringkat penyediaan dokumen tender dan dijangka dimulakan secara berperingkat mulai tahun hadapan.
Projek yang diluluskan itu ialah empat sektor sosial berjumlah RM48.5 juta dan dua projek infrastruktur utama bernilai RM54 juta, katanya menjawab soalan lisan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi pada persidangan DUN di sini.
Empat sektor sosial itu ialah cadangan menaik taraf Taman Tanjung Pedada Mukah kepada Tanjung Pedada Eco=Park (RM15 juta), cadangan dataran baharu di Tapak Pesta Bederun Mukah (RM10 juta), cadangan Taman Botanical Balingian (RM10 juta) dan cadangan pembinaan Pusat Latihan Pertanian Balingian (RM13.5 juta), katanya.
Dua projek infrastruktur yang diluluskan, tambahnya, ialah cadangan jalan SK Sungai Liuk/Kuala Balingian (fasa ketiga) bernilai RM45 juta dan cadangan pemuliharaan Tebingan Sungai di Kampung Suyong, Balingian bernilai RM9 juta.
