KUCHING: Keupayaan teknikal Majlis Daerah Simunjan perlu diperkukuh dengan penambahan jurutera dalam bidang berkaitan keselamatan infrastruktur dan pengurusan risiko bencana bagi memastikan setiap isu di lapangan dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, ketiadaan kepakaran mencukupi menyebabkan banyak aduan teknikal terpaksa dirujuk ke luar daerah, sekali gus melambatkan proses penyelesaian.
“Kewujudan jurutera berkemahiran tinggi dalam kejuruteraan awam, geoteknik serta pemantauan struktur akan membantu pentadbiran daerah bersifat lebih responsif selain meminimumkan ancaman keselamatan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan DUN Ke-19.
Awla turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan penambahan jawatan baharu di majlis daerah sebagai langkah segera dan jangka panjang bagi menyokong pembangunan infrastruktur Simunjan yang semakin pesat.
Awla menuntut agar masalah liputan internet yang lemah di beberapa kawasan Simunjan diberi perhatian serius kerana ia menjejaskan keperluan komunikasi asas masyarakat dalam persekitaran digital masa kini.
