FTES: Sarawak sediakan elaun RM15,000 untuk pelajar IPT milik negeri

KUCHING: Pelajar daripada keluarga berpendapatan per kapita RM1,500 ke bawah bakal menerima manfaat tambahan apabila Kerajaan Sarawak memperuntukkan elaun RM15,000
kepada mereka.

Ini bagi membantu mereka melanjutkan pengajian di empat institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, sebahagian daripada elaun itu iaitu RM5,000 akan terus disalurkan kepada unit kediaman institusi sebagai bayaran penginapan pelajar.

Baki RM10,000 pula, katanya akan dimasukkan ke akaun pelajar melalui aplikasi S Pay Global untuk kegunaan harian sepanjang tempoh pengajian.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini.

Roland Sagah turut memaklumkan bahawa 64 kursus telah pun diluluskan di empat institusi terbabit.

Beliau menambah bahawa maklumat terperinci mengenai FTES akan diumumkan sendiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Disember ini di DUN Sarawak.

Dalam sidang media selepas persidangan itu, beliau berkata bahawa jumlah peruntukan RM250 juta bagi skim berkenaan adalah anggaran yang telah disesuaikan berdasarkan keperluan sebenar, berbanding anggaran awal RM450 juta.

Katanya, anggaran awal hanyalah unjuran kasar sebelum mengambil kira jumlah sebenar pelajar yang layak serta pelajar sedia ada, dan penilaian semula itu membawa kepada pengurangan peruntukan.