Sarawak rancang bina Kompleks Sabal tahun depan

KUCHING: Sarawak merancang memulakan pembinaan Kompleks Sabal bernilai RM65 juta pada tahun depan, sekali gus membuka sebuah pusat pemuliharaan dan ekopelancongan baharu di Hutan Simpan Sabal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pembangunan itu akan menyediakan kemudahan asas, pusat penyelidikan, kemudahan latihan dan fasiliti rekreasi hutan bagi menyokong pertumbuhan pelancongan hijau di negeri ini.

“Komponen projek ini merangkumi kemudahan asas, penginapan, fasiliti penyelidikan dan latihan, pembangunan hutan rekreasi serta infrastruktur pelancongan moden dan mesra alam,” katanya ketika menyampaikan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.

Menurut beliau, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini turut merasmikan hab ekopelancongan yang meliputi Taman Negara Sabal, Hutan Simpan Sabal, kawasan model pengurusan hutan mampan serta taman buluh.

Sementara itu, Len Talif memaklumkan bahawa Sarawak Delta Geopark telah menerima status Green Card bagi pencalonan UNESCO Global Geopark selepas melalui sesi penilaian di Chile pada September lalu.

“Status ini akan dibawa ke Lembaga Eksekutif UNESCO pada Mei 2026 untuk pengesahan akhir,” katanya.