Sarawak catat kemajuan dalam sektor petrokimia, minyak dan gas

KUCHING: Kompleks Metanol Sarawak berjaya mengeksport lebih 750,000 metrik tan metanol ke pasaran utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Indonesia dan India.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, ini menunjukkan Sarawak terus mencatat kemajuan ketara dalam sektor petrokimia serta minyak dan gas

Katanya, Sarawak Petchem kini melaksanakan Projek Metanol Hijau di Bintulu, selain projek amonia dan urea karbon rendah bersama PETRONAS yang bakal mempelbagaikan lagi portfolio petrokimia negeri serta mewujudkan peluang bernilai tinggi.

“Pelaburan berterusan oleh PETROS, PETRONAS, Shell dan pengendali lain dalam penerokaan serta pembangunan huluan menyokong keselamatan tenaga, meningkatkan pengeluaran domestik dan memberi nilai tambah kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Beliau menambah, kemajuan sektor tenaga dan petrokimia turut merancakkan perkembangan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), dengan 60 daripada 100 limbungan kapal utama negara terletak di Sarawak. Eksport sektor SBSR juga menunjukkan peningkatan ketara daripada RM345 juta pada 2021 kepada RM873 juta pada 2025.

Malcolm berkata pelaburan berimpak tinggi terus menjadi pemacu ke arah menjadikan Sarawak sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

“InvestSarawak memudahcara pelaksanaan projek strategik meliputi tenaga boleh diperbaharui, teknologi solar, kenderaan udara tanpa pemandu serta pembuatan bahan kimia. Pada masa sama, kerajaan memastikan persekitaran perdagangan yang kondusif melalui kajian dasar pelaburan dan penilaian impak taman perindustrian di seluruh negeri,” katanya.