KUCHING: Kerajaan Sarawak meningkatkan peruntukan sektor pertanian dalam Belanjawan 2026 sebagai strategi utama memperkukuh keselamatan makanan serta merealisasikan aspirasi menjadikan negeri itu pengeksport makanan menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata sektor itu menerima RM326 juta dalam Belanjawan 2026—peningkatan RM145 juta atau 80.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mentransformasi landskap pertanian Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaburan besar tersebut akan mempercepat usaha memodenkan pertanian melalui teknologi digital, menggalakkan pembabitan sektor swasta dan memperkukuh keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Beliau berkata, sektor pertanian menyumbang RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024 dan menyediakan 247,400 pekerjaan.
Minyak sawit pula kekal sebagai komoditi eksport kedua terbesar dengan nilai meningkat daripada RM15 bilion (2021) kepada RM16.3 bilion (2024).
Setakat Oktober 2025, eksport minyak sawit mencapai 3.1 juta tan bernilai RM13.8 bilion.
Bagaimanapun, katanya, Sarawak masih perlu mengurangkan defisit dagangan makanan, khususnya dalam pengeluaran beras, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, perikanan dan makanan ternakan.
Pada 2024, Sarawak mencapai Tahap Sara Diri (SSL) 21 peratus dengan pengeluaran 51 tan padi, namun SSL dijangka menurun kepada 20 peratus tahun ini. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, Sarawak terpaksa mengimport 173,000 tan beras bernilai RM460 juta untuk menampung kekurangan bekalan.
Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan program pembangunan padi komersial secara komprehensif yang merangkumi model reka bentuk–bina–urus–pindah, pewartaan tanah, pemodenan sistem pengairan serta peluasan penyertaan sektor swasta.
Stephen Rundi menegaskan usaha transformasi pertanian turut bergantung pada pemerkasaan peladang melalui akses ilmu, teknologi moden dan kemahiran pertanian komersial bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing dan mampan.
