Sarawak rekodkan kes buli meningkat, program kesedaran diteruskan

KUCHING: Kes keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan penurunan, manakala kes buli pula mencatatkan peningkatan tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 444 kes keganasan rumah tangga direkodkan setakat Oktober 2025, menurun 4.1 peratus berbanding 463 kes dalam tempoh sama pada 2024.

“Walaupun menurun, isu ini kekal menjadi perhatian kementerian,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah turut menjelaskan,
bahawa Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) meneruskan program kesedaran melalui Kursus Know Your Rights dan Pocket Talks, dengan 27 kursus advokasi dijalankan setakat ini.

Daripada 5,782 peserta, seramai 5,088 peserta (88 peratus) melaporkan peningkatan kefahaman mengenai hak serta keselamatan

Beliau juga mendedahkan tahun 2025 mencatatkan bilangan kes buli tertinggi iaitu sebanyak 36 kes dari Januari hingga Oktober 2025.

“Ini berbanding 15 kes pada 2024, 20 kes (2023) dan 14 kes (2022),” tambahnya.

Menurutnya, kementerian telah melaksanakan program Wacana Bestari: Isu Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak pada 27 September 2025 melibatkan seramai 150 peserta.

Katanya, program tersebut diadakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Ini katanya, untuk meningkatkan kesedaran tentang jenis-jenis buli, memperjelaskan peranan agensi, memantapkan tatacara intervensi serta memperkasakan komuniti dan sekolah sebagai pelindung utama kanak-kanak.