KUCHING: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 bakal menjadi platform penting untuk memantapkan persiapan kontinjen negeri dalam mempertahankan kejuaraan SUKMA di Selangor.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, SUKSAR sejak 2017 berperanan sebagai medan pencarian bakat dan pembangunan atlet pelapis.
“SUKSAR IV yang berlangsung pada awal Februari 2026 di Sri Aman dan Betong akan melibatkan 11 sukan dengan penyertaan atlet dari empat zon seluruh Sarawak,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Penganjurannya bertujuan memperkukuh laluan pembangunan atlet agar Sarawak terus cemerlang di peringkat kebangsaan.
Dalam masa sama, katanya persiapan ke SUKMA XXII Selangor dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dimulakan lebih awal.
Dengan 37 sukan dipertandingkan, Sarawak sedang giat membina kekuatan kontinjen untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan, seiring aspirasi negeri menjadi kuasa sukan negara, katanya.
