Pembayaran bantuan kebajikan dipendek kepada lima hari

KUCHING: Sebanyak RM249.2 juta daripada peruntukan RM295.5 juta telah disalurkan kepada 56,650 penerima bantuan kebajikan bulanan di Sarawak setakat Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata bantuan itu merangkumi golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak serta keluarga miskin.

“Bermula tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) meningkatkan kecekapan pengurusan melalui integrasi Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan Sosial (SWAM) dan Sistem Perakaunan Sarawak (SAS), sekali gus memendekkan tempoh pembayaran bantuan daripada 14 hari kepada lima hari,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas bantuan kesihatan bersasar, Fatimah berkata sebanyak RM6.5 juta dibelanjakan sehingga Oktober bagi membantu 312 pesakit buah pinggang, 81 pesakit di bawah Skim Bantuan Perubatan dan 75 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan/Sokongan.

Sementara itu, bagi persiapan menghadapi monsun timur laut, JKMS mengenal pasti 658 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri.

“Stok keperluan asas untuk mangsa bencana ditempatkan di Depoh Simpanan Samarahan serta mini depoh di Mukah, Kapit, Miri dan Lawas, selain disimpan di 12 pejabat kebajikan serta 24 pangkalan hadapan bencana,” katanya.

Fatimah turut memaklumkan bahawa sehingga Oktober lalu, seramai 315,106 pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) menikmati pelbagai kemudahan dan diskaun ditawarkan oleh 1,140 rakan niaga strategik di seluruh Sarawak.