KUCHING: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) berharap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan mengumumkan ‘berita gembira’ berhubung desas-desus bantuan kewangan kepada pengamal media pada hari terakhir Persidangan DUN Sarawak.
Presiden KDJA, Ronnie Teo, berkata seluruh pengamal media di Sarawak menantikan “buah tangan” yang mungkin diumumkan Premier semasa sesi penggulungan kementeriannya.
“Kami menerima maklum balas daripada industri media bahawa lebih banyak bantuan diperlukan, terutamanya dari segi kebajikan dan rangkaian.
“Kami berharap dapat menerima sokongan tersebut, selaras dengan apa yang dinikmati penjawat awam. Namun, kita tunggu pengumuman Premier nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat delegasi KDJA terhadap Premier di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Kunjungan itu bertujuan menjemput Premier menghadiri Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2025 yang dijadual berlangsung pada 20 Disember ini di Hotel Pullman.
Menurut Ronnie, penganjuran tahun ini menerima 433 penyertaan, dengan proses penjurian disempurnakan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).
“Seperti tahun lalu, terdapat 10 kategori anugerah merangkumi bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Iban. Sesetengah kategori turut melibatkan siaran, selain kategori khas penyiaran seperti fotografi, esei foto dan foto kewartawanan,” katanya.
Antara kategori dipertandingkan termasuk penulisan rencana dan berita, sukan, kewartawanan penyiaran, kewartawanan kelestarian, kewartawanan perniagaan dan ekonomi, kesejahteraan komuniti, foto kewartawanan, esei foto serta kewartawanan ekonomi digital.
Sementara itu, Premier turut menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Hasanah yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Mohd Nor Yusof, bersama Pemegang Amanah Dato Amirul Feisal Wan Zahir serta Pengarah Urusan merangkap Pemegang Amanah, Siti Kamariah Ahmad Subki.
Siti Kamariah berkata, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan perkembangan terkini projek-projek yayasan di bawah Khazanah Nasional.
Menurutnya, yayasan itu kini melaksanakan 43 projek bernilai RM38 juta di Sarawak meliputi program pendidikan, alam sekitar, ruang awam, seni serta kajian beras Sarawak yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi.
