Sarawak kekurangan 930 doktor, pengisian tenaga perubatan antara cabaran terbesar

KUCHING: Sarawak kini berdepan kekurangan 930 doktor daripada 30,523 jawatan yang diluluskan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Kekurangan itu katanya, menjadikan isu pengisian tenaga perubatan antara cabaran terbesar dalam memastikan rakyat mendapat akses kesihatan mencukupi.

Beliau berkata, nisbah doktor kepada populasi negeri masih jauh ketinggalan di belakang purata kebangsaan, dengan 1,871 doktor masih tidak mencukupi, sekali gus menuntut strategi baharu dalam pengurusan sumber manusia sektor kesihatan.

“Penilaian tenaga kerja KKM di tujuh hospital utama negeri menunjukkan Sarawak memerlukan tambahan 11,127 jawatan, termasuk 1,567 doktor baharu. Ini mengukuhkan lagi tuntutan untuk memperluas autonomi negeri dalam pengurusan tenaga manusia kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Menurut Dr Sim, Sarawak ketika ini mempunyai 27,255 petugas kesihatan kerajaan, termasuk 1,838 pegawai kontrak.

Namun, katanya kekurangan doktor tetap memberi tekanan besar kepada hospital dan klinik, khususnya di luar bandar yang menghadapi cabaran logistik dan kekangan kepakaran.

Dalam usaha mengukuhkan autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak kini meneliti semula bidang kuasa pengawalseliaan sektor kesihatan negeri — termasuk cadangan memindahkan tanggungjawab mengawal selia fasiliti dan perkhidmatan kesihatan swasta daripada Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kesihatan Sarawak.

Cadangan pemindahan kuasa daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) itu sebelum ini telah dipersetujui secara dasar, namun kini sedang diteliti semula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan aspek teknikal dan perundangan.

Sehubungan itu, Dr Sim merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, yang mengetuai pasukan khas merangkumi pelbagai kementerian dan agensi bagi memperincikan skop autonomi kesihatan Sarawak.

Katanya, langkah itu penting untuk membolehkan negeri merancang hala tuju kesihatan awam mengikut keperluan sebenar rakyat, selari dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sistem kesihatan yang lebih efisien dan berdaya saing.