KUCHING: Kes gigitan haiwan di Sarawak menunjukkan trend peningkatan pada 2025, dengan sebanyak 19,444 laporan direkodkan sehingga 22 November lalu.
Ini bersamaan purata 414 kes seminggu.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, angka itu lebih tinggi berbanding 2024 yang merekodkan 18,564 kes, dengan purata mingguan 357 kes.
Katanya, kucing menyumbang majoriti kes gigitan pada tahun ini iaitu 62.3 peratus, manakala anjing pula merangkumi 36.5 peratus daripada keseluruhan laporan.
“Setakat tahun ini, enam kes rabies dalam kalangan manusia dilaporkan, menurun berbanding lapan kes pada tahun lalu.
“Empat daripadanya berlaku di Bahagian Kuching dan dua lagi di Bahagian Bintulu. Sejak 2017, Sarawak mencatat 89 kes rabies manusia,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Dr Sim menegaskan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) komited membendung penularan rabies melalui kerjasama erat dengan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.
Selain rabies, JKNS turut memperkukuh usaha pencegahan, pemantauan dan kawalan terhadap beberapa penyakit endemik lain termasuk Japanese Encephalitis (JE), tuberkulosis (TB) dan denggi.
“Pemantauan penyakit dilaksanakan secara berterusan untuk mengenal pasti trend jangkitan, manakala saringan TB serta aktiviti kawalan vektor bagi JE dan denggi turut dipergiat bagi memastikan keselamatan kesihatan awam sentiasa terjamin,” ujarnya.
