Sarawak gerakkan kempen promosi buah-buahan tempatan

KUCHING: Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 telah dilancarkan di perkarangan DUN Sarawak petang tadi.

Pelancaran disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serentak dengan pelancaran Majalah Agro Kenyalang terbitan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).

Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sektor pertanian serta pengeluaran makanan tempatan. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, turut hadir.

Kempen tersebut dianjurkan oleh M-FICORD dan JPS dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk:
• Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak
• SALCRA
• SLDB
• SIRB
• SNDB
• PPNS
• LPNM

Penganjuran kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pengambilan buah-buahan tempatan yang kaya nutrisi serta berpotensi tinggi dalam pasaran, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada para pengusaha tani.

Sementara itu, Majalah Agro Kenyalang Edisi Kesembilan menampilkan pelbagai kandungan merangkumi teknologi pertanian moden seperti penggunaan Internet Kebendaan (IoT), inovasi industri makanan, pencapaian jabatan serta maklumat perkhidmatan pertanian untuk rakyat.