Sarawak sasar kesalinghubungan menyeluruh, 503 projek infrastruktur dilaksana

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kesalinghubungan infrastruktur apabila sebanyak 4,959 daripada 6,344 kampung dan kawasan penempatan di negeri kini dapat dihubungi melalui jalan darat.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata baki 1,385 kampung lagi dijangka menikmati akses jalan darat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pembangunan infrastruktur darat terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap komuniti, termasuk kampung serta rumah panjang, mempunyai akses yang lebih baik kepada peluang ekonomi, perkhidmatan sosial dan jaringan pengangkutan yang lebih selamat,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Menurut Uggah, menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited melaksanakan 503 projek infrastruktur strategik bernilai RM43.34 bilion, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, projek-projek tersebut merangkumi:
• 301 projek jalan raya
• 70 projek jambatan
• 105 projek bangunan kerajaan
• 25 projek infrastruktur sungai
• Pembinaan landasan terbang baharu di Bebuling
• Pemanjangan landasan kapal terbang di Limbang

Setakat ini, katanya 239 projek bernilai RM9.44 bilion telah disiapkan, manakala 139 projek bernilai RM20.69 bilion masih dalam pelaksanaan. Baki 125 projek bernilai RM13.21 bilion kini di peringkat prakontrak.

Uggah turut memaklumkan bahawa Sarawak kini mencapai 78 peratus liputan kesalinghubungan jalan raya, namun usaha memperluas capaian ke seluruh pelosok negeri masih diteruskan melalui peningkatan dan penaiktarafan jalan sedia ada.

Bagi mempercepatkan pembangunan jalan luar bandar, kerajaan turut menerima peruntukan sebanyak RM988.16 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Pembangunan Wilayah (KKDW) bagi menaik taraf 11 bekas jalan pembalakan di negeri ini.

Daripada jumlah tersebut:
• Dua projek telah siap, iaitu naik taraf bekas jalan balak fasa keempat di Bahagian Sibu dan Bahagian Sarikei
• Enam projek sedang dalam pelaksanaan
• Tiga projek dalam peringkat prakontrak

Uggah menegaskan bahawa usaha memperkukuh infrastruktur negeri adalah komponen penting dalam menjamin kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Kesalinghubungan yang lebih baik akan membuka peluang pembangunan yang lebih luas, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh Sarawak sebagai sebuah negeri maju,” katanya.