Insentif RM700: Keprihatinan kerajaan terhadap peranan media

KUCHING: Pengumuman insentif RM700 secara one-off kepada pengamal media swasta disifatkan sebagai penghargaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terhadap peranan media.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata ini kerana jambatan komunikasi penting antara kerajaan dan rakyat.

“Premier Sarawak sentiasa mengambil berat mengenai peranan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan agenda pembangunan dan inisiatif ekonomi baharu kerajaan secara tepat dan bertanggungjawab.

“Beliau (Premier) mengiktiraf bahawa warga media merupakan saluran penerangan yang kritikal dalam memastikan maklumat sahih dapat disampaikan tanpa sebarang kekeliruan tentang hala tuju pembangunan negeri,” katanya ketika dihubungi UKAS.

Menurut Abdullah, Premier Sarawak turut meluluskan permohonan insentif itu dengan pantas sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, pengorbanan dan khidmat bakti pengamal media yang bertugas di negeri ini.

“Mewakili seluruh warga media di Sarawak, kami amat menghargai keprihatinan dan sokongan Premier. Saya percaya bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian mereka,” tambahnya.

Pengumuman insentif tersebut dibuat Premier Sarawak dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan DUN Sarawak Ke-19. – UKAS