Strategi kewangan negeri bantu Sarawak bangunkan infrastruktur

KUCHING: Sarawak kini melangkah lebih jauh dalam agenda pembangunan sendiri apabila strategi berani kerajaan negeri termasuk penubuhan bank sendiri mula menunjukkan hasil.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penubuhan bank negeri adalah antara langkah kreatif yang membolehkan Sarawak berdikari dari sudut pembiayaan pembangunan, sekali gus tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Persekutuan.

Menurutnya, kemampuan itu lahir daripada prinsip asas perbankan yang memberikan kuasa kredit kepada institusi kewangan.

“Jika seseorang mendepositkan RM1, bank menyimpan 20 sen sebagai rizab dan menggunakan 80 sen untuk pinjaman. Dari situlah bank menjana keuntungan.

“Dengan adanya bank kita sendiri, Sarawak mempunyai keupayaan membiayai projeknya sendiri,” katanya ketika berucap pada Malam Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers di sini, malam tadi.

Namun, katanya strategi kewangan Sarawak tidak terhenti di situ.

Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menjadi pemangkin kedua yang memperkukuh kedudukan negeri dalam industri minyak dan gas, sekali gus membuka aliran pendapatan baharu, tambahnya.

Abang Johari berkata, mekanisme kewangan yang dibangunkan kerajaan negeri membuktikan keberkesanannya apabila beberapa projek yang pernah dibatalkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini dapat diteruskan menggunakan dana negeri sendiri.

“Kita masih mampu membangunkan jalan, jambatan dan projek lain kerana kita telah menyediakan dana sendiri melalui instrumen yang dibangunkan,” jelasnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, serta barisan menteri, timbalan menteri, ADUN.