SINGAPURA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara pemimpin negara menyertai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura (ALR) Ke-12 yang berlangsung di sini, hari ini.
Delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Singapura bagi menghadiri ALR itu.
Mengiringi Anwar ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Delegasi Kerajaan Sarawak turut disertai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
ALR menjadi platform kedua negara itu membincangkan isu serantau dan antarabangsa, menilai kemajuan kerjasama dan memperkukuh hubungan dua hala.
Dianjurkan secara bergilir antara kedua negara itu, ALR kali ini bakal menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) selain satu Perjanjian antara Malaysia dan Singapura.
Ia turut menjadi ruang meneroka potensi kerjasama baharu dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.
Dari aspek hubungan Sarawak – Singapura, Abang Johari ketika menggulung perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu menjelaskan, Sarawak telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Penguasa Pasaran Tenaga Singapura untuk projek kabel elektrik dasar laut SarawakâSingapura.
Ujarnya, ia menjadi langkah penting ke arah pembentukan Grid Tenaga ASEAN selain merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi pusat tenaga hijau rantau ini.
Menerusi persetujuan tersebut, Sarawak akan membekalkan sejumlah 1 Gigawatt tenaga ke republik itu dengan kerja-kerja pemasangan kabel dasar laut dijangka bermula pada 2026. – UKAS
