Fahami keperluan belanjawan negeri – Fazzrudin

KUCHING: Belanjawan negeri bukan dokumen yang boleh ditafsir sesuka hati, sebaliknya memerlukan kefahaman mendalam berhubung peraturan perakaunan kerajaan, ujar Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Jelasnya, kekeliruan sering tercetus apabila sesetengah pihak menafsir angka belanjawan tanpa memahami struktur teknikal yang menjadi asas kepada dokumen tersebut.

“Premier sering menggunakan contoh-contoh mudah supaya maksud sebenar belanjawan dapat difahami dengan jelas oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Kelab Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Pullman, di sini, malam tadi.

Majlis dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, walaupun pembangkang bebas memberikan tafsiran masing-masing, fokus Kerajaan GPS kekal pada pelaksanaan dasar dan memastikan perkhidmatan kerajaan sampai kepada rakyat secara berkesan.

“Kita, sebagai penyokong kerajaan, perlu memainkan peranan menyampaikan visi Premier dan kabinet dengan tepat kepada akar umbi,” tegasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; serta Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, bersama barisan kenamaan lain.