UNIFOR perketatkan pemantauan dana projek rumah ibadat

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperketatkan pemantauan terhadap semua projek rumah ibadat yang menerima bantuan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah dan mengikut tujuan asal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu diambil selepas didapati masih terdapat penerima bantuan pada fasa terdahulu yang belum mengemukakan laporan penggunaan dana seperti yang diwajibkan.

“Program bantuan UNIFOR akan diteruskan tahun hadapan, namun penerima yang gagal mematuhi syarat pelaporan mungkin tidak layak menerima peruntukan seterusnya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek bantuan fasa ketiga 2025 berjumlah RM40.58 juta, melibatkan 138 projek rumah ibadat, dalam satu majlis di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Uggah, laporan berkala amat penting bagi memantau kemajuan projek sama ada pembaikan atau pembinaan semula selain memastikan setiap dana digunakan sepenuhnya mengikut perancangan yang telah diluluskan.

“Penerima bantuan perlu menghantar laporan tepat pada waktunya dan memastikan dana dimanfaatkan mengikut tujuan asal supaya UNIFOR dapat menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan,” katanya.