LUNDU: Dua projek naik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kampung Sampadi dengan jumlah keseluruhan bernilai RM820,000 telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, memaklumkan bahawa salah satu projek berkenaan sedang dilaksanakan di Jalan Sampadi dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak Sarawak 2025 yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Ibadah, Kampung Sampadi.
Selain itu, Dato Sri Nancy turut menjelaskan bahawa satu lagi projek naik taraf JPD di kawasan berhampiran masjid telah berjaya disiapkan melalui peruntukan RM320,000.
“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah turut menyokong pertumbuhan ekonomi setempat serta memastikan perjalanan anak-anak ke sekolah menjadi lebih selamat dan selesa,” ujar beliau.
