Kampung Angkat MADANI Nanga Engkuah, pembangunan pedalaman direalisasi

KAPIT: Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) menjadi inisiatif strategik Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat pembangunan sampai terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek di pedalaman seperti Nanga Engkuah bukanlah perkara mudah kerana hanya boleh diakses melalui jalan balak atau perjalanan sungai selama kira-kira tiga jam dari Pekan Song, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air.

Namun, katanya, komitmen semua pihak berjaya mengatasi cabaran logistik, tenaga kerja dan rintangan alam semula jadi sehingga semua projek yang dirancang dapat disiapkan.

Jelas beliau, kerjasama erat penduduk juga mencerminkan semangat perpaduan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Inisiatif Kampung Angkat MADANI ini merupakan yang pertama sejak beliau menyandang jawatan Menteri Persekutuan dan membuktikan pembangunan Persekutuan benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KKR Nanga Engkuah di Pejabat Daerah Song, hari ini.

Antara projek yang siap ialah pembinaan jambatan penghubung rumah panjang serta pemasangan lampu jalan yang meningkatkan keselamatan dan memudahkan aktiviti masyarakat.

Nanta menegaskan bahawa pembangunan bukan hanya melibatkan infrastruktur, tetapi turut merangkumi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha tersebut mampu membawa Nanga Engkuah ke arah pembangunan lebih mampan dan holistik.