Saberkas Batang Ai juarai Piala Presiden PESTASA 2025

SIMANGGANG: Regu Saberkas Batang Ai dari Lubok Antu muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Sri Aman (PESTASA) 2025 edisi pertama selepas menundukkan AMBS 93 Bungin dalam perlawanan akhir di Gelanggang Sentosa Indah, RPR Sri Aman, petang tadi.

Dalam aksi final yang penuh debaran, Saberkas Batang Ai menutup tirai kejohanan dengan kemenangan bergaya 2-0, menerusi mata 15-8 dan 15-11.

Dengan kejayaan itu, Saberkas Batang Ai membawa pulang Piala Pusingan Presiden PESTASA, wang tunai RM1,000, piala dan pingat. Naib juara AMBS 93 Bungin pula menerima RM700, piala dan pingat.

Tempat ketiga menjadi milik ATC Team dari Kuching selepas menewaskan STL 04, juga dari Kuching, dengan keputusan 2-0 (17-15, 15-8), sekali gus meraih hadiah wang tunai RM500, piala dan pingat.

Bagi anugerah individu, Edwin Ejam (AMBS 93 Bungin) dinobatkan sebagai apit kanan terbaik, Bobby Doman (Saberkas Batang Ai) apit kiri terbaik, manakala Hilary Dundang (Saberkas Batang Ai) dipilih sebagai tekong terbaik kejohanan.

Hadiah disampaikan oleh Presiden PESTASA, Awangku Hafizi Awang Azahari, yang turut diiringi Ketua Kaum Taman Sentosa Indah, Awang Kamaruddin Awang Majit, serta Pengerusi Gelanggang Futsal Sentosa Indah RPR Sri Aman, Mohammad Alwi.

Kejohanan sulung ini menyaksikan penyertaan 20 regu, sekali gus membuktikan populariti berterusan sukan sepak takraw dalam kalangan masyarakat di Bahagian Sri Aman.