KUCHING: Persiapan giat dijalankan untuk sambutan Tahun Baharu 2026 yang akan berlangsung pada 31 Disember di Tebingan Sungai Kuching, membawa tema penuh warna ‘Fiesta’.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata acara tahun ini dijangka menjadi antara sambutan tahun baharu terbesar di Sarawak.
Beliau sehubungan itu menjemput orang ramai memeriahkan detik ambang tahun baharu tersebut.
“Majlis akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Segmen rasmi dari jam 10 malam hingga tengah malam menampilkan barisan artis popular seperti KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali dan Naqiu, manakala prapersembahan bermula jam 8 malam melibatkan artis tempatan termasuk Gabriel Mawat, Ng Chien Chien, Meera Zada, Carrie Geres, Razali Sa’at dan Jolly Jengan.
Malam tersebut dijangka lebih meriah dengan persembahan khas penyanyi Indonesia, Judika, diikuti detik kemuncak pertunjukan bunga api serta pelancaran “Gateway To A Sarawak Guinness World Record”, rekod perjalanan GPS terpanjang menggunakan dron yang baru-baru ini diiktiraf oleh Guinness World Records.
