Kerajaan pantau keselamatan kawasan pelancongan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan keselesaan pelawat terus menjadi keutamaan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan termasuk Taman Negara Niah baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kawasan pelancongan kekal selamat serta tidak menjejaskan aset sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sustainability Within, Green Earth Beyond 2025 di Surau Darul Hijrah, Darul Hana.

Menurutnya, kejadian banjir bukan hanya berlaku di Sarawak, malah menjadi fenomena global yang wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak agar lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar memainkan peranan dengan mengurangkan penebangan hutan, mengawal aktiviti pembalakan serta memperbanyakkan penanaman pokok demi kelestarian jangka panjang.

“Walaupun banjir berlaku, situasi di Sarawak masih terkawal dan bersifat terpencil. Namun kesedaran bersama dalam pengurusan alam sekitar amat penting bagi mengelakkan masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Len turut menegaskan bahawa kejadian tersebut tidak menjejaskan status Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai mengamalkan kitar semula memandangkan kadar kitar semula di Sarawak masih rendah, khususnya melibatkan sisa makanan yang sering berlaku dalam penganjuran program dan majlis.

Katanya, kos pengurusan sisa yang tinggi memerlukan pendekatan penggunaan bahan secara lebih berhemah bagi mengelakkan cabaran serius pada masa hadapan.