LAWAS: Kemasukan kemudahan asas serta pelaksanaan projek pembangunan berskala besar di kawasan pertanian dijangka memberi impak terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata penambahbaikan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi akan memudahkan perhubungan, merancakkan pemasaran produk tempatan serta membuka peluang pembangunan tanah dan perniagaan.
Menurutnya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kini bersedia menerima permohonan sambungan bekalan air di kawasan Ulu Merapok, termasuk untuk Mini Service Centre di kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bakul Kasih dan Jelajah Wanita Zon Merapok di Service Centre Ulu Merapok, hari ini.
Awang Tengah turut menegaskan kepentingan ilmu dan kemahiran sebagai pemacu utama pembangunan, sambil menekankan bahawa setiap aktiviti ekonomi, walaupun kecil, tetap menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Jualan hasil pertanian dan ternakan seperti lemiding, ayam, itik dan kambing adalah sumbangan sebenar kepada ekonomi,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu turut menggesa kerjasama erat antara penduduk dan pihak berkepentingan bagi memastikan Lawas terus berkembang sebagai daerah yang progresif dan berdaya saing.
Pada majlis sama, Bakul Kasih Pemedulian disampaikan kepada pesakit kronik yang kehilangan sumber pendapatan, selain penyerahan cek berjumlah RM40,000 kepada tiga kampung terlibat dalam Program Pembelian Bunga iaitu Kampung Tanah Sibagol, Kampung Bukit Puan dan Kampung Sasa.
