Pemuda PBB kabong perkukuhkan gerak kerja, sasar belia

KABONG: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong digesa memperkukuh semangat perjuangan, mempererat kerjasama akar umbi serta lebih proaktif mendekati golongan belia dan masyarakat.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Kabong, Abdul Rahim Peli, berkata pemuda perlu memainkan peranan sebagai penggerak utama parti di peringkat kawasan bagi memastikan PBB kekal relevan dan terus dekat di hati rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda PBB N.40 Kabong Bil. 2/2025 yang dihadiri barisan kepimpinan pemuda serta wakil ranting seluruh DUN Kabong.

Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai agenda termasuk perkembangan politik semasa, isu dan cabaran di peringkat ranting, perancangan aktiviti pemuda serta strategi memperkukuh parti di peringkat kawasan.

Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Kabong menyatakan sokongan penuh kepada ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, untuk terus memimpin kawasan berkenaan.

Abdul Rahim turut menyeru jentera pemuda agar sentiasa bersiap siaga, tersusun dan berdisiplin sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.

Mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan Pergerakan Pemuda PBB Kabong dalam memperkasa parti, memperkukuh kepimpinan dan memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan di DUN Kabong.