Belanjawan Sarawak 12 Oktober, Abang Johari beri bayangan hala tuju ekonomi

MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Bajet Sarawak 2027 yang akan dibentangkan pada 12 Oktober ini bakal menyentuh frasa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Premier berkata, ini termasuk tarif elektrik, hala tuju ekonomi serta kedudukan hasil Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan langkah yang bakal diumumkan, sebaliknya meminta rakyat menunggu pembentangan bajet berkenaan.

“Insya-Allah, dua minggu lagi saya akan membentangkan Bajet Sarawak. Kita tunggulah bajetnya. Ada negeri lain naik tarif elektrik. Sama ada Sarawak naik… jangan khuatir, selagi Abang Jo ada,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.

Abang Johari turut memberi bayangan mengenai hala tuju ekonomi Sarawak dan kedudukan hasil wilayah tersebut yang akan diperincikan dalam pembentangan itu.

Terdahulu, Abang Johari menggalakkan lebih banyak isi rumah memasang panel solar di bumbung bagi menjana sendiri tenaga elektrik dan mengurangkan bil bulanan.

“Kos pemasangan sistem berkenaan sekitar RM30,000, dengan Kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sehingga RM15,000 bagi setiap rumah,” ujarnya.

Menurutnya, selain mengurangkan penggunaan elektrik daripada grid, lebihan tenaga yang dijana juga boleh dijual kepada SESCO.

“Selagi ada cahaya matahari, kita boleh mengeluarkan tenaga,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, skim solar atas bumbung Kerajaan Sarawak dilaporkan berpotensi membantu pengguna domestik menjimatkan sehingga RM6,000 setahun, bergantung kepada penggunaan elektrik isi rumah.