MUKAH: Golongan M40 di Kuching, Miri dan Sibu berpotensi mendapat akses kepada projek perumahan mampu milik menerusi peluasan projek perintis yang kini dirancang Kerajaan Sarawak di Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan di Bintulu akan menjadi asas penilaian sebelum pendekatan sama diperluaskan ke bandar utama lain di negeri ini.
“Kerajaan kini sedang meneliti jenis rumah, kos pembinaan dan julat harga bagi memastikan kediaman yang dibangunkan benar-benar mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Balingian, di sini, hari ini.
Katanya, Bintulu dipilih sebagai lokasi perintis berikutan keperluan perumahan dalam kalangan M40, dengan projek dirancang di Jepak serta kawasan berhampiran Samalaju, bersebelahan Kampung Nyalau.
“Sekarang kita sedang mengkaji bagaimana kita hendak membangunkan rumah untuk M40, termasuk membuat pengiraan dari segi jenis rumah dan kos supaya mereka dapat membeli rumah,” katanya.
Abang Johari berkata, antara cabaran utama penyediaan perumahan mampu milik di bandar ialah nilai tanah yang tinggi serta kekurangan kawasan baharu akibat pembangunan yang semakin padat.
