KUCHING: Festival What About Kuching (WAK) berpotensi diperluas ke Bintulu serta bahagian lain di Sarawak susulan perkembangan positif platform kreatif berasaskan komuniti itu sejak diperkenal di Kuching pada 2017.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, WAK yang kini memasuki edisi kelapan di Kuching berkembang dari sebuah festival tempatan kepada platform kreatif yang menghimpunkan artis, pemuzik, penggiat budaya, usahawan, institusi, sektor swasta dan komuniti.
Menurutnya, perkembangan itu turut diperluas ke Sibu dan Miri yang masing-masing kini memasuki edisi ketiga, sekali gus menunjukkan konsep berkenaan mendapat sambutan baik daripada komuniti.
Katanya, kerajaan negeri kini sedang meneroka kemungkinan untuk memperluas WAK ke lokasi lain termasuk Bintulu.
“Bayangkan pada masa hadapan terdapat rangkaian WAK di seluruh Sarawak, dengan setiap bahagian menampilkan identiti serta kreativiti komuniti masing-masing.
“Perkembangan ini mampu menjana peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan serta menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena pelancaran Festival WAK edisi kelapan di The Spring, di sini, hari ini.
Menurutnya, industri kreatif bukan sekadar ruang mengetengahkan minat dan bakat, sebaliknya mampu menyediakan peluang kerjaya, membangunkan perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau turut menggalakkan penganjur memperkukuhkan hubungan antara WAK Kuching, Sibu dan Miri, selain meneroka kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk dengan Brunei, Indonesia, Singapura, Semenanjung Malaysia serta rantau sekitarnya.
-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
