PETROS beri Sarawak keupayaan, urus minyak dan gas sendiri

MUKAH: Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) antara langkah strategik Kerajaan Sarawak mengurus sumber minyak dan gas serta memastikan Sarawak memperoleh manfaat daripada industri berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kewujudan PETROS memberikan Sarawak keupayaan sendiri untuk berunding, menjalankan kajian dan memperoleh maklumat strategik mengenai perkembangan industri minyak dan gas.

“Apabila menubuhkan PETROS, setakat ini kita boleh berunding mengikut terma kita. Kedua, kita tahu keadaan dan masa depan industri serta boleh membuat kajian sendiri.

“Kita tidak bergantung kepada orang lain untuk maklumat strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Bahagian Mukah, di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, kewujudan PETROS bukan bertujuan menjejaskan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sebaliknya kedua-dua syarikat boleh bekerjasama dalam membangunkan industri minyak dan gas.

Menurutnya, hasil daripada sektor itu boleh dilaburkan semula untuk memperluaskam aktiviti hiliran bernilai tinggi, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi di Sarawak.

Abang Johari berkata, Sarawak merancang pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG) berskala kecil menggunakan sumber gas negeri sebagai bahan suapan bagi industri hiliran.

Katanya, PETROS juga menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat Norway yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam pengurusan LNG terapung.

“Kemudahan LNG terapung itu disasarkan mula beroperasi pada 2029 di Kuching sebagai sebahagian daripada pembangunan kompleks rendah karbon dan pelabuhan laut dalam yang dirancang kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Abang Johari berkata, langkah itu selaras dengan usaha Sarawak meningkatkan nilai sumber gasnya melalui aktiviti hiliran, berbanding hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah.