KUCHING: Program Gotong-Royong Perdana Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) 2025 menjadi platform memupuk budaya kebersihan dan kerjasama komuniti di bawah pentadbiran Dewan Bandar Kuching Utara (DBKU).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata program ini bukan sekadar membersihkan persekitaran, malah meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan kebersihan, khususnya di kawasan kampung pelancongan yang sering dikunjungi pelawat.
Menurutnya, tahap kebersihan yang tinggi perlu dikekalkan bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selesa dan menarik kepada pengunjung.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama penduduk kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, meliputi pembersihan kawasan tebingan sungai, jalan raya, sistem perparitan, kawasan belakang kampung serta tapak perkuburan.
Dr Abdul Rahman turut memaklumkan, hasil persetujuan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan ketua kampung, program ini akan dijadikan acara tahunan dengan sokongan berterusan DBKU, termasuk dari segi logistik dan pengurusan sisa.
Beliau menambah, inisiatif sama akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan DUN lain di bawah pentadbiran DBKU seperti Semariang, Tupong, Satok dan Demak Laut.
