Regata Lingga himpunkan 41 pasukan termasuk Brunei

LINGGA: Pembangunan sektor pelancongan perlu dipacu seiring dengan penaiktarafan Lingga sebagai daerah baharu.

Ini bagi memastikan pertumbuhan sosioekonomi masyarakat terus diperkasakan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Regata Lingga yang kini memasuki edisi ketiga menjadi platform penting dalam mempromosikan Lingga sebagai destinasi pelancongan berpotensi tinggi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, pada Majlis Perasmian Regata Lingga Edisi Ketiga di Tebingan Lingga, di sini hari ini.

Menurutnya, acara yang bermula sebagai Pesta Lingga sejak era 1970-an itu diberi nafas baharu, disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak pada 2018 dan dijenamakan semula sebagai Regata Lingga.

Regata Lingga 2025 menghimpunkan 41 pasukan termasuk penyertaan dari Brunei Darussalam, dengan pertandingan utama merebut gelaran Raja Sungai dan Battle of Titans, selain acara sampingan seperti Miss Regata Lingga dan Battle of the Band yang menarik kehadiran ribuan pengunjung.

Beliau berkata, kepelbagaian aktiviti ini menyokong agenda pelancongan daerah serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan melalui promosi dan jualan produk komuniti.

Abang Johari turut memuji komitmen Jawatankuasa Induk Regata Lingga dan semua pihak terlibat, sambil menegaskan bahawa kejayaan penganjuran ini membuktikan daerah baharu juga mampu menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.